SEJARAH PARIT JAWA

Author: SK Parit Jawa Muar /

SEJARAH AWAL KAMPUNG PARIT JAWA



Sejarah Pembukaan Parit Jawa

Lipatan sejarah secara bertulis mengatakan bahawa keadaan Parit Jawa pada masa itu dipenuhi dengan hutan tebal di sekitar pasisir pantai hingga ke daratan. Orang yang bertanggungjawab membuka Parit Jawa ialah Tn. Haji Abdul Jabar Madjati yang berasal dari Tanah Jawa, Indonesia. Beliau telah datang ke Parit Jawa bersama-sama ahli rombongannya seramai kira-kira 40 orang yang terdiri daripada beberapa orang pahlawan dan orang-orang kebanyakkan. Mereka datang dengan menaiki sebuah perahu besar. Antara nama yang tersenarai dalam rombongan tersebut ialah Haji Jabar selaku ketua rombongan dan penglima-panglimanya iaitu Haji Shamsuri, Haji Amir, Said Demak dan Haji Samad. Rombongan tersebut telah menyusuri pantai Selat Melaka dari arah selatan sehingga ke utara. Mereka telah memilih lokasi yang terbaik pada pandangan mereka iaitu Parit Jawa. Pantai Parit Jawa ketika kedatangan rombongan tersebut dikatakan dilitupi oleh pasir putih dan ditumbuhi pokok-pokok yang rendang. Haji Jabar bersama-sama ahli rombongannya telah membuka petempatan yang dinamakan sebagai Kampung Baru kira-kira beberapa meter dari pantai.

Tarikh Pembukaan Parit Jawa
Menurut sejarah bertulis (Esei-esei Sejarah Malaysia; Peraduan Mengarang Esei 1980-1981; Sejarah Awal Kampung Parit Jawa, 1982, Kuala Lumpur), tarikh kampung Parit Jawa dibuka tidak dapat dikenalpasti ekoran tiada catatan bertulis. Walau bagaimanapun nama Parit Jawa mula dikenali umum pada tahun 1870 hingga 1871. Ia adalah berdasarkan kepada tahun lawatan Muhammad Ibrahim Munsyi iaitu pada 6 April 1871 yang pada ketika itu datang untuk melawat Parit Jawa. Semasa tarikh lawatan berkenaan, projek menggali parit sedang berjalan dan masih belum siap sehingga ke Bukit Mor. Oleh yang demikian, dianggarkan bahawa Parit Jawa atau Kampung Baru yang dikenali pada masa itu mula dibuka antara tahun 1860 hingga tahun 1870.

Asal-usul nama Parit Jawa
Pada asalnya dahulu nama Parit Jawa adalah Kampung Baru. Ia merupakan sebuah jajahan di dalam negeri Johor yang terletak di bahagian pantai barat Daerah Muar yang mempunyai rupa bentuk geografinya yang luas, rendah, rata dan tidak berbukit-bukit. Menurut sejarah, asal Parit Jawa mendapat nama adalah daripada penggali-penggali parit yang berbangsa jawa pada masa itu yang telah menggali parit di kawasan Parit Jawa. Dikatakan bahawa orang-orang jawa yang datangnya dari Sumatera, Indonesia telah membuka petempatan di pesisir pantai Parit Jawa yang pada masa itu juga dikenali sebagai Kampung Baru oleh orang-orang jawa.


Kuala Parit Jawa

Petempatan Kampung Baru yang asal berdekatan dengan pantai dengan jarak beberapa meter sahaja. Kawasan tersebut sering dinaiki air. Penduduk-penduduk yang mengusahakan kebun mengalami masalah banjir. Ketika musim hujan, tanaman mereka ditenggelami air. Perkara ini menimbulkan kegusaran para penduduk di situ. Mereka telah meminta Haji Jabar selaku penghulu pada masa itu untuk membina tali air sebagai sistem pengairan untuk mengatasi masalah banjir.  Sebatang parit telah digali bermula dari pantai sehingga ke Bukit Mor. Orang-orang jawa telah menggali parit berkenaan. Terdapat sebuah syair yang dapat menceritakan perkara ini. Syair ini dinamakan sebagai ‘Syair Abdul Rahman’. (Esei-esei Sejarah Malaysia; Peraduan Mengarang Esei 1980-1981; Sejarah Awal Kampung Parit Jawa, 1982, Kuala Lumpur).
Bermuafakat dengan saudara sendiri,
Mulai kerja inilah hari,
Kawan semua sudah menanti,
Bekerja dengan suka hati.

Setelah sudah demikian peri,
Kawan bermuafakat pula lagi,
Hendak berkerja bagaimana ini,
Kerana air tidak pergi.

Kepada penghulu kita pintai,
Pinta jalan air yang pasti,
Supaya tanah tidak ditenggelami,
Dibuat kebun boleh menjadi.

Kepada penghulu semua berkata,
Ada sesuatu kehendak kita,
Kawasan sudah ditebang semua,
Hendak dikerjakan banyak airnya.

Kehendak kawan kita semua,
Satu jalan air sangat dipinta,
Datuk Penghulu lalu berkata,
Permintaan kamu sedia diterima.

Penghulu menghumpas dan memancang,
Melalui kebun dan hutan,
Parit digali bukan kepalang,
Semua suka orang sekelian.

Dibuat parit lebar sedepa,
Dinamakan orang Parit Jawa,
Sempena Jawa yang menggalinya,
Supaya tidak dilupa yang muda.

Dianggarkan pada tahun 1916, petempatan baru telah dibuka kira-kira satu kilometer dari pantai. Kedudukan tersebut ialah lokasi pekan Parit Jawa pada masa ini. 

Sejarah ekonomi Parit Jawa


Pekan Parit Jawa

Tanaman dan pertanian
Haji Jabar bersama-sama ahli rombongannya telah berusaha gigih membangunkan Parit Jawa yang pada asalnya dikenali sebagai Kampung Baru. Mereka telah menebang hutan dan membuka kebun-kebun untuk dijadikan sebagai tanah pertanian. Faktor tanah yang subur sangat mempengaruhi hasil tanaman yang diusahakan. Antara tanaman yang diusahakan pada ketika itu ialah tebu, pisang, ubi, keladi, nanas, lada hitam, pinang, kelapa, getah, padi  dan sayur-sayuran. Kumpulan ini juga dikatakan telah melakukan kegiatan sebagai nelayan untuk mendapatkan hasil laut seperti ikan. Segala usaha yang dilakukan membuahkan hasil lantas membentuk rangkaian perdagangan di kawasan sekitar.

Perdagangan
Parit Jawa mula dikenali dengan hasil pertaniannya yang diusahakan oleh orang-orang jawa. Hasil pertanian ini telah mewujudkan satu jaringan perdagangan dengan kawasan sekitarnya. Ini kerana hasil tanaman yang diusahakan mampu membekalkan sumber makanan kepada penduduk sekitar kawasan Parit Jawa. Faktor ini telah menyebabkan Parit Jawa semakin berkembang dan ditambah pula dengan kedatangan orang-orang yang berbangsa cina. Orang-orang cina mula menapak di Parit Jawa dan sangat berminat dalam bidang jual beli. Mereka kebanyakkannya menjadi peraih dan pedagang. Ada di antaranya yang turut mengusahakan kebun-kebun untuk dijadikan sebagai sumber pencarian utama mereka.

Perlombongan
Menurut sejarah, orang-orang cina yang berasal dari Tanah Besar Negara China telah datang ke Parit Jawa. Kebanyakkan mereka adalah berbangsa Hokkien. Kedatangan mereka telah menyebabkan pembukaan lombong bijih timah pada tahun 1871. Oleh yang demikian, kegiatan melombong bijih timah telah menjadi salah satu daripada kegiatan ekonomi di Parit Jawa. Mengikut catatan, pada tahun 1871 hasil bijih timah di Parit Jawa meningkat menjadi 194 pikul. Ungku Abdul Rahman yang datang dari Teluk Belanga telah dilantik sebagai wakil sultan untuk mengutip hasil cukai timah. Setiap orang yang berkerja di lombong itu dikehendaki membayar hasil kepada raja dan wakilnya. Pengeluaran bijih timah ini disyaratkan melalui Jalan Othman sebelum ditimbang dengan dacing raja. Hasil bijih timah di Parit Jawa juga sangat dikenali di dalam negeri Johor dan dinamakan ‘Timah Padang Johor’.   

Perikanan


Kedatangan orang-orang cina juga telah menyemarakkan lagi kegiatan perikanan di pesisir pantai Parit Jawa yang sebelumnya hanya dilakukan oleh orang-orang jawa. Orang-orang cina dikatakan mengaktifkan aktiviti perikanan dengan bertidak selaku nelayan dan peraih. Tempat pendaratan hasil laut ini masih kekal sehingga sekarang iaitu di pelabuhan jeti Parit Jawa. Tempat aktiviti jual beli ikan juga dibina dikenali sebagai pasar Parit Jawa.

Kedudukan dan lokasi
Kampung Parit Jawa terletak kira-kira satu kilometer dari pantai Selat Melaka dan dianggarkan 11 kilometer dari bandar Muar manakala 39 kilometer dari bandar Batu Pahat. Keluasan Parit Jawa pada  asalnya ialah kira-kira 20 kilometer  persegi. Mukim Parit Jawa terdiri daripada beberapa buah kampung iaitu Kampung parit Pulai, Parit Samsu, Parit Limbong, Parit Kassim, Parit Sri, Parit Gantong, Parit Nipah dan Bukit Mor.

Pengangkutan
kereta api
beca
basikal
perahu

0 ulasan:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.

Cari Blog Ini